PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah berkata jika dia bercakap "akan ada pergaduhan."

Situasi ini berlaku setelah dia bertengkar dengan pengurusnya Jurgen Klopp di tepi padang ketika Liverpool seri 2-2 dengan West Ham bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Salah nampaknya punya situasi tegang dengan Klopp ketika dia bersedia untuk masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-79.

Klopp berkata, dia tidak akan mendedahkan tentang hujahnya itu, tetapi bekas penyerang Liverpool Peter Crouch berkata di TNT Sports bahawa "ia kelihatan tidak baik untuk kelab."

"Salah adalah pemain yang telah memulakan majoriti perlawanan untuk Liverpool dan dia akan berasa marah untuk berada di bangku simpanan," kata Crouch.

"Tetapi tiada siapa yang suka melihat ini antara pengurus dan pemain utama."

Salah kelihatan kecewa dengan sesuatu yang dikatakan Klopp kepadanya ketika dia dibawa masuk dan seolah-olah mahu memanjangkan perbalahan sebelum rakan sepasukan Darwin Nunez dan Joe Gomez meredakannya.

Keputusan itu menyebabkan Liverpool terkeluar daripada perebutan kejuaraan EPL. Mereka berada di tangga ketiga dalam kedudukan liga dan perebutan juara kini adalah pertembungan antara  Arsenal dan Manchester City.

Dalam video di aplikasi X @SamuelILFC, Salah, ketika berjalan melalui kawasan media selepas perlawanan, berkata: "Jika saya bercakap akan berlaku pergaduhan."




Seorang wartawan bertanya "pergaduhan?" dan Salah menjawab: "ya, sudah tentu." - Stadium Astro